Followers

Monday, October 19, 2009

Taman tema kedua dibina di Nusajaya

JOHOR BAHRU 18 Okt. - Johor bakal memiliki sebuah lagi taman tema selepas Taman Tema Legoland apabila sebuah taman tema tertutup dibangunkan menjelang awal tahun depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, taman tema yang berkeluasan 5,574 meter persegi itu terletak di hadapan Puteri Harbour di Medini Iskandar Malaysia, Nusajaya, dekat sini.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Iskandar Malaysia berkata, UEM Land Sdn. Bhd. akan bekerjasama dengan beberapa syarikat luar negara untuk membangunkan taman tema yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak itu.

"Pembinaan taman tema kedua ini bertujuan untuk menambah daya tarikan di Iskandar Malaysia sebagai gabungan kepada Taman Legoland dalam menyediakan segmen pasaran kepada kanak-kanak di bawah 10 tahun.

"Perjanjian projek tersebut telah dimeteraikan baru-baru ini dan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan menjelang awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan rumah contoh Shakira Taman Nusantara di Bandar Nusajaya dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif, Denia Development Sdn. Bhd., Datuk Shamsudin Abu Hasan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian.

Abdul Ghani berkata, pihaknya turut bercadang untuk membangunkan sebuah lagi taman tema yang disasarkan kepada golongan dewasa pada masa akan datang.

Beliau berkata, pembangunan taman tema itu dijangka melengkapi dua taman tema yang disasarkan kepada kanak-kanak dalam usaha mempelbagaikan konsep permainan di Iskandar Malaysia.

Sementara itu, Taman Tema Legoland yang berkeluasan 58 hektar dijangka siap pada 2013 serta mampu menjana lebih 5,000 pekerjaan semasa dan selepas projek pembinaannya selesai.

Ia merupakan Taman Tema Legoland yang kelima di dunia selepas Legoland Billund di Denmark, Legoland Windsor di England, Legoland Deutschland di Jerman dan Legoland California di Amerika Syarikat.

Legoland Malaysia merupakan yang pertama daripada tiga taman antarabangsa yang dirancang bagi negeri itu, di bawah projek pemangkin yang akan dipacu oleh Iskandar Investment Bhd (IIB) dalam pelan induk pelancongannya bagi Iskandar Malaysia.

3 comments:

  1. BANGGA JADI ANAK M'SIA >:-D

    ReplyDelete
  2. salam 1 Johor..

    Bangga jadi anak JOHOR, Malaysia..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum wbt. buat semua penduduk johor, Saya amat berdukacita apabila melihat warga singapura memandu kereta yang berdaftar di singapura tapi road tax dah tamat tempoh. JPJ & trafik polis di johor tidak langsung memeriksa road tax kenderaan mereka tapi ambil tindakan tegas terhadap rakyat johor/malaysia. Boleh ke rakyat singapura memandu kenderaan tanpa road tax & insuran jalanan yang sah lebih2 lagi kereta yang berplat merah. Nak tunggu sampai rakyat singapura langgar pejalan kaki atau kenderaan lain baru nak ambil tindakan. Tolong ambil tindakan yang tegas lagi2 kawasan Gelang patah & bukit indah.

    ReplyDelete