JOHOR BAHRU 14 Nov. - Kerajaan akan menaik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang daripada empat menjadi enam lorong pada tahun depan dengan kos RM150 juta bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerja-kerja menaik taraf itu akan dilakukan secara berperingkat dengan fasa pertama projeknya membabitkan kos RM40 juta.
"Lebuh Raya Pasir Gudang akan menjadi tiga lorong di setiap hala yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong di sebelah kiri dan kanan.
"Melalui projek naik taraf ini, kesibukan dan kesesakan di lebuh raya itu akan dapat diatasi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Komuniti Polis Daerah Seri Alam, di Dataran Alhamra, Menara Aqabah di sini semalam.
Turut hadir Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dan Timbalannnya, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat Pasir Gudang berjanji yang kerajaan akan menyelesaikan masalah kesesakan di laluan tersebut.
Khaled berkata, apabila kerja-kerja menaik taraf bermula, semua kenderaan berat boleh menggunakan Lebuh Raya Senai-Desaru dan tidak dibenarkan menggunakan Lebuh Raya Pasir Gudang.
Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, langkah tersebut adalah untuk sementara waktu bagi mengurangkan kesesakan sehingga projek menaik taraf siap sepenuhnya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta penduduk di sini supaya memberikan kerjasama penuh terhadap program itu untuk memastikan kegiatan jenayah dapat dibanteras.
Katanya, ini kerana bilangan penduduk Pasir Gudang bertambah setiap tahun dan pihak polis tidak boleh berada di setiap tempat untuk menjaga kesejahteraan dan keamanan.
Sementara itu, Mokhtar berkata, indeks jenayah di negeri ini dari Januari hingga bulan lalu menurun sebanyak 24.25 peratus iaitu dengan mencatatkan 5,942 kes.
Bagi tempoh yang sama, katanya, indeks jenayah jalanan turut menurun sebanyak 38.62 peratus dengan bilangan 5,942 kes.
"Kadar jenayah bagi tempoh tersebut yang berjaya diselesaikan ialah sebanyak 42 peratus atau 7,678 kes," katanya dan yakin melalui program itu kadar jenayah di Johor dapat dikurangkan lagi.
Utusan
Sultan mahu jambatan ganti Tambak Johor.
ReplyDeleteBila agaknya titah Sultan ini nak dilaksanakan?
Jangan buat diam jee!
tq
ReplyDelete