Followers

Showing posts with label pelaburan. Show all posts
Showing posts with label pelaburan. Show all posts

Wednesday, November 25, 2009

KPMNJ cari rakan kongsi maju tanah


JOHOR BAHRU: Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) mencari rakan kongsi bagi memajukan tanah miliknya di Jalan Kolam Air, bersebelahan bekas tapak Penjara Johor Bahru dengan cadangan projek komersial yang difikirkan sesuai.

Pengerusinya, Datuk Prof Mohamad Ali Hasan, berkata pihaknya sedia menerima sebarang pihak yang mewakili syarikat atau orang perseorangan yang berminat untuk membangunkan tanah berkenaan yang ketika ini dijadikan tempat meletak kenderaan sementara.

Beliau berkata, tanah berkenaan sesuai dibangunkan hotel atau bangunan pejabat kerana kedudukannya di tengah kawasan bandar raya selain mempunyai nilai estetika kerana bersebelahan Penjara Johor Bahru dan dilengkapi kemudahan asas.

“Pihak koperasi sedia menerima sebarang cadangan daripada sebarang pihak yang berminat menjadi rakan kongsi KPMNJ di atas tanah berkenaan.

“Mereka yang berminat boleh mengemukakan cadangan rasmi kepada koperasi untuk kami nilaikan. Bagaimanapun cadangan berkenaan perlu mengemukakan maklumat lengkap berserta cadangan projek yang bakal dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata, KPMNJ kini dianggotai lebih 10,000 ahli di kalangan rakyat Johor di setiap daerah dengan menjadikan aspek hartanah, pertanian, ternakan dan pelancongan sebagai aktiviti perniagaan utama.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan koperasi berkenaan di talian 07-2232050

Sumber: Berita Harian, 24 November 2009

Tuesday, November 24, 2009

Johor hab perubatan antarabangsa

JOHOR BAHRU 23 Nov. - Johor bakal menjadi hab perubatan di peringkat tempatan dan antarabangsa apabila sebuah hospital awam dan pusat kesihatan termaju dibuka di Nusajaya dekat sini tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, hospital berkenaan terletak dalam Bandar Perubatan Nusajaya bagi melengkapkan keperluan perkhidmatan perubatan di negeri ini.

"Proses menubuhkan hospital tersebut masih dalam peringkat perancangan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Hospital Pakar Regency di Seri Alam, Pasir Gudang di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pusat kesihatan berkenaan pula akan dibina dengan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Abdul Ghani berkata, perbincangan mengenainya akan dijalankan dalam tempoh terdekat ini berdasarkan mesyuarat pegawai-pegawai kerajaan kedua-dua negara pada tahun depan.

Menurutnya, kemudahan perubatan di Johor dijangka merancakkan pelancongan perubatan apabila negeri ini dikunjungi pelawat dari luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan.