Followers

Friday, August 14, 2009

Pengajaran untuk Melayu

Oleh AZNAN BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KENAPA sejak kebelakangan ini isu berkaitan Melayu dan Islam kerap ditimbulkan dan dibincangkan termasuk di kalangan pemimpin bukan Melayu?

Malah ia diikuti dengan kritikan dan desakan terutama daripada pemimpin bukan Islam pembangkang dan ada hingga sampai ke tahap mencabar dan menghina syariat Islam.

Hal-hal yang berkaitan arak dan mengaitkan Islam dan gerakannya sebagai ekstremis jika tidak disekat pasti akan menimbulkan kesan yang tidak baik kepada masyarakat majmuk di negara ini.

Ramai yang cukup maklum dan sedar bahawa orang Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini dan Islam adalah agama rasmi.

Namun begitu langsung tidak ada halangan untuk kaum lain mengamalkan agama, budaya dan adat resam mereka termasuk membina rumah ibadat di kawasan orang Melayu walaupun penduduk bukan Melayu hanya dua atau tiga orang sahaja.

Orang Melayu yang beragama Islam pula tidak segan silu dan tidak ada pantang larang untuk berbelanja di kedai-kedai bukan Melayu terutama di musim-musim perayaan tanpa ada sebarang rasa prejudis.

Semua ini boleh berlaku kerana ada sikap toleransi dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Melayu amat menghormati kehadiran kaum lain dan tidak pernah menghalang apa juga yang dilakukan dalam kehidupan seharian mereka.

Namun sejak kebelakangan ini apabila kuasa politik Melayu sedikit terhakis ekoran keputusan Pilihan Raya Umum 2008, terdapat suara-suara lantang mengkritik kaum majoriti ini.

Bukan setakat Melayu yang dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif terdapat juga cubaan menyerang Islam secara langsung dan tidak langsung.

Ada antara kritikan itu lebih menjurus kepada cacian dan penghinaan kepada Melayu dan Islam.

Atas alasan hak dan kebebasan individu untuk bersuara, perkara ini kelihatan semakin serius apabila satu demi satu isu yang menghina dan mempermainkan Islam dibangkitkan.

Di Selangor misalnya, bandar raya Shah Alam yang dibangunkan sebagai sebuah bandar Melayu dengan kini mula dirobek dengan pelbagai isu termasuk isu arak.

Pendakwah Islam kini mula dikritik dan dicaci secara terbuka semata-mata kerana menegur kelompok tertentu.

Apabila ini semua berlaku siapa yang hendak kita salahkan? Apakah puncanya? Jika sebelum ini isu-isu sensitif berkaitan dengan agama dan kaum jarang disentuh tetapi mengapa kini dibicarakan secara terbuka terutama yang membabitkan isu Islam dan Melayu?

Adakah ini bahang perkauman di negara ini semakin meruap-ruap dan sukar untuk dibendung?

Jika diteliti sebab dan musabab perkara ini berlaku, jari kesalahan mungkin boleh dituding kepada orang Melayu itu sendiri.

Ambil contoh negeri Selangor. Ketika di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO, Shah Alam dibangunkan sebagai sebuah bandar yang bebas daripada elemen maksiat.

Tidak ada pusat karaoke, panggung wayang dan apatah lagi penjualan arak. Semua itu tidak berlaku di bawah pemerintahan BN yang sering dilabelkan dengan rasuah dan kronisme.

Tetapi ekoran perubahan pucuk pimpinan negeri selepas Mac 2008, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menjadi terajunya (Pas hanya melukut di tepi gantang).

Serentak itu perubahan pun berlaku sedikit demi sedikit. Termasuk arak mula dibenarkan masuk ke Shah Alam di samping cadangan menggunakan wang zakat orang Islam untuk memajukan negeri.

Rasanya jika orang Melayu di Selangor kekal menyokong BN dan UMNO tentunya perkara ini tidak akan berbangkit. Ini merupakan harga yang perlu dibayar ekoran daripada perubahan yang diinginkan pada 2008.

Jika dilihat kepada kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, 41 daripada 56 kerusi DUN, majoriti pengundinya adalah Melayu.

Maka boleh dikatakan di sini, apa yang berlaku di Selangor termasuk hal yang berkaitan dengan penghinaan terhadap Islam dan Melayu berpunca daripada orang Melayu itu sendiri.

Melayu yang menjadi penyebab jika kaum itu dan agama Islam dihina dan diinjak-injak.

Pepatah menyatakan: "Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat, bersatu teguh bercerai roboh". Inilah akibatnya apabila kita tidak menghargai apa yang dimiliki.

Begitu juga di Perak. Di mana majoriti pengundi di 38 daripada 59 DUN-nya adalah Melayu.

Malah di seluruh negara, kawasan Parlimen yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu jauh lebih banyak daripada bukan Melayu. Tetapi mereka tidak menggunakan kuasa sebagai pengundi itu untuk memastikan kuasa politik terus kekal.

Dengan alasan sudah tidak yakin lagi dengan perjuangan UMNO maka mereka melakukan perubahan pada pilihan raya umum lalu. Hasilnya ialah apa yang berlaku hari ini. Terdapat segelintir pemimpin daripada parti tertentu yang mula berani bermain dengan api perkauman dan agama.

Segala bantahan dan kutukan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sudah tidak ada maknanya.

Jika mereka turut berdemonstrasi hingga tumpah darah sekali pun tidak mampu mengubah apa yang berlaku.

Pada tahun 2008, ini yang mereka mahukan - perubahan. Bila berlaku perubahan kuasa sudah tentu wataknya juga akan berbeza.

Sebab itu orang Melayu perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah mereka lakukan pada pilihan raya 2008 itu.

Dalam bidang ekonomi, Melayu memang ketinggalan, kini jangan sampai kehilangan kuasa politik. Lihatlah apa yang berlaku di beberapa negeri yang dikuasai pembangkang.

Lihat apa yang berlaku di Perak ketika pembangkang berkuasa untuk seketika selepas pilihan raya umum lalu.

Segala serangan, kritikan, penghinaan dan apa juga tanggapan negatif yang dilemparkan kepada orang Melayu dan Islam merupakan pengajaran yang berguna pada masa depan.

Tidak guna bangkit menyalahkan individu tertentu kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina Melayu dan Islam. Ini kerana mereka berani berbuat demikian disebabkan tindakan orang Melayu itu sendiri.

Ketidakupayaan Melayu untuk bersatu dan kecenderungan untuk menghukum pemimpin sendiri membolehkan pihak lain mengambil kesempatan daripada kelemahan yang berlaku untuk kepentingan mereka.

Jadi, tidak perlu menjadi seperti anjing yang menyalak bukit kerana ia tidak mampu mengubah apa-apa.

Tunggulah tiga atau empat tahun lagi jika mahu melakukan perubahan iaitu pada pilihan raya umum akan datang. Itupun jika Melayu sudah mendapat pengajaran daripada apa yang berlaku sekarang. Belajarlah daripada kesilapan ini.

1 comment:

  1. bersatulah melayu / islam. jangan berlengah lagi

    ReplyDelete