Followers

Friday, November 13, 2009

Cekup perompak tidur

Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


KLUANG: Tiga warga Indonesia yang berlagak kaya dengan menjadikan beberapa hotel di negeri ini sebagai tempat tinggal, dicekup dengan mudah pasukan polis ketika mereka nyenyak tidur di sebuah hotel di Johor Bahru, awal pagi Rabu lalu.

Kumpulan perompak yang sering menjadikan pelanggan bank sebagai mangsa itu tumpas selepas kurang 24 jam menyamun mangsa terakhir.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad, berkata tiga perompak berusia 33 hingga 47 tahun itu baru selesai merompak seorang pelanggan bank di Simpang Renggam di sini, petang 3 November lalu sebelum pasukan polis yang sudah tiga bulan memburu kumpulan berkenaan mendapat maklumat mengenai hotel tempat mereka menginap.

Menurutnya, serbuan dilakukan pada kira-kira jam 2.30 pagi dan ketika serbuan, semua suspek nyenyak tidur menjadikan tugas polis lebih mudah dan menahan tanpa sebarang rintangan.

“Siasatan awal mendapati, mereka mendakwa berasal dari Batam, Indonesia namun kami percaya mereka masuk ke negara ini secara haram kerana pas lawatan sosial dan dokumen pengenalan diri yang diberikan mereka meragukan.

“Selain itu, pemeriksaan di dalam bilik itu membawa kepada penemuan wang tunai beberapa negara asing termasuk wang tempatan sebanyak RM4,724, S$434 (RM1,041), AS$10 (RM34) dan wang Indonesia sebanyak Rp160,000 (RM58).

“Kami juga menemui lima komputer riba yang dipercayai disamun daripada mangsa di daerah lain dan merampas enam telefon bimbit serta tiga kereta iaitu dua Proton Gen-2 dan sebuah Proton Wira yang dipercayai dicuri untuk digunakan menyamun pelanggan bank,” katanya.

Menurutnya, penangkapan tiga lelaki berkenaan dipercayai berupaya menyelesaikan tujuh ke samun di Simpang Renggam dan Kluang dan banyak kes hampir sama di daerah lain.

Hasil siasatan, katanya, kes samun di Kluang dan Simpang Renggam hanya membabitkan pelanggan bank yang baru mengeluarkan wang sedangkan banyak lagi barangan lain dirampas dipercayai milik mangsa rompakan di daerah lain.

Katanya, kumpulan itu dipercayai sudah bergiat lebih tiga bulan lalu, namun polis sukar mengenal pasti kumpulan berkenaan kerana mereka memasuki negara ini secara haram.

“Semua penjenayah itu ditahan reman hingga Rabu depan bagi membantu siasatan dan memastikan pembabitan mereka dalam jenayah di daerah lain.

“Tiga lelaki berkenaan akan didakwa mengikut Seskyen 395 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment