Followers

Wednesday, November 25, 2009

Gedung barang berjenama terbesar Asia Tenggara di Iskandar Malaysia


NEW YORK 24 Nov. – Malaysia akan mempunyai rangkaian gedung membeli-belah barangan jenama (factory outlet) terbesar di Asia Tenggara di Iskandar Malaysia yang menawarkan harga rendah pada pertengahan 2011.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, gedung membeli-belah itu dijadual dibina Februari depan hasil kerjasama Genting Berhad dan Chelsea Property Group dengan sasaran kunjungan empat juta orang setahun.

Menurutnya, rangkaian gedung membeli-belah itu menawarkan harga 25 hingga 60 peratus lebih rendah berbanding kedai biasa.

“Saya gembira Malaysia dipilih. Selain menarik pelancong, perusahaan kecil dan sederhana tempatan seperti industri batik, pakaian, makanan dan hiburan boleh terlibat. Kita juga mahu promosikan produk tempatan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu Najib yang dalam rangka lawatan perdagangan ke Amerika Syarikat (AS) mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay, Ketua Pegawai Eksekutif Chelsea Porperty Group, John Klein dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak.

Pada masa ini, Chelsea mengendalikan 387 gedung membeli-belah meliputi kawasan selatan Amerika, Eropah dan di Tokyo serta Korea Selatan. Di New York, gudang membeli-belah milik Chelsea, Woodbury Common Premium Outlets mempunyai 220 kedai barangan jenama.

Ia menawarkan koleksi barangan jenama seperti Adidas, Banana Republic, Burberry, Coach, Dolce & Gabbana, Donna Karan, Giorgio Armani, Gucci, Zegna, Max Mara, Gap, Nike, Polo Ralph Lauren, Salvatore Ferragamo dan Timberland.

Chelsea dan Genting telah menandatangani kerjasama ini pada Januari tahun lalu dengan jangkaan pelaburan sebanyak RM158 juta. – utusan

1 comment:

  1. bro...saya nak mintak izin share post bro kt blog aku..

    ReplyDelete