Followers

Wednesday, November 25, 2009

Rais gesa jabatan dan agensi kerajaan perhebat penerangan 1Malaysia

KUALA LUMPUR- Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan diminta untuk memperhebatkan lagi aktiviti serta penerangan mengenai konsep dan gagasan 1Malaysia sehingga ke peringkat akar umbi.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara umumnya dilihat sudah diterima oleh seluruh rakyat berdasarkan penilaian dan wawancara yang dibuat oleh jabatan-jabatan di bawah kementerian itu.

"Pencapaian awal menunjukkan dasar 1Malaysia diterima ramai dan semakin mendapat sambutan, dan untuk itu juga kementerian akan terus memberi penerangan mengenai dasar 1Malaysia bagi menembusi semua lapisan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kualiti 2009 bagi kementerian itu di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Rais berkata, Jabatan Penerangan khususnya perlu bertungkus-lumus dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar 1Malaysia kepada masyarakat dengan menggunakan pendekatan baru.

"Bagi mencapai pendekatan ini, cara berkomunikasi, berpidato, penggunaan alat pandang dengar serta teknik penceritaan yang menarik perlu menjadi satu kaedah penting dalam penentuan penerangan," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment