Followers

Tuesday, November 24, 2009

MAIJ kutip zakat RM86.4 juta

MUAR 23 Nov. - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sehingga kini berjaya memperoleh kutipan zakat sebanyak RM86.4 juta iaitu lebih 70 peratus daripada RM110 juta yang disasarkan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ, Abd. Rahman Jaafar, daripada jumlah tersebut, sebanyak 70 peratus daripadanya telah diagihkan mengikut asnaf-asnaf yang ditetapkan.

"Kita akan memperluaskan lagi kutipan dan usaha akan turut ditingkatkan bagi menggalakkan lebih ramai orang membayar zakat secara potongan gaji bulanan.

"Zakat pendapatan adalah penyumbang kedua terbesar dalam kutipan keseluruhan namun jumlah yang kita peroleh melalui potongan gaji bulan adalah hanya sekitar RM33,000 setiap bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat kepada penduduk kawasan Pagoh pada majlis Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) Universiti Putra Malaysia (UPM) di Kampung Seri Tanjung, Panchor di sini baru-baru ini.

Antara penerima sumbangan ialah Basitah Monel, 73, serta Jovita Gahuk, 37, yang menerima bantuan sara hidup bulanan serta Samsiah Sidik, 41, yang menerima bantuan membina rumah.

Terdahulu, seramai 68 pelajar universiti berkenaan mengadakan gotong-royong mengecat surau, membaiki rumah penduduk fakir miskin, membersihkan tanah perkuburan dan menyampaikan hamper bantuan kepada penduduk miskin.

Menurut Abd. Rahman, pengagihan bantuan zakat yang dikenali sebagai Program Insaniyah itu dapat memberi keyakinan kepada masyarakat Islam khususnya pembayar zakat mengenai sumbangan yang diberikan kepada golongan yang memerlukan.

"Dengan adanya usaha ini, kita dapat meringankan beban golongan kurang bernasib dan seterusnya memberikan mereka semangat dan MAIJ akan memberikan perkhidmatan terbaik sama ada dari segi wang ringgit dan juga tenaga," katanya.

Katanya lagi, MAIJ akan berganding bahu dengan semua pihak yang terlibat dalam memastikan sasaran miskin sifar menjelang 2010 akan berjaya dicapai.

1 comment:

  1. Tahniah MAIJ. Tahniah juga kepada pembayar zakat di Negeri Johor. Semoga tuan-tuan dan puan-puan semua dilimpahi rezeki yang melimpah ruah, sihat dalam iman serta diberkati Allah swt.

    ReplyDelete