Followers

Sunday, May 31, 2009

Utusan Melayu, Askar Melayu dan komunis Melayu


OLEH kerana hari ini bulan Mei berada di penghujungnya, penulis ingin merakamkan penghargaan kepada ayahanda yang hari jadinya jatuh pada 7 Mei lalu.

Ini kerana sebahagian hidup mudanya telah dihabiskan dalam perjuangan menentang pengganas komunis. Sama-sama pekerjaan pertama penulis dan ayahandanya adalah dengan dua institusi orang Melayu. Penulis bekerja dengan Utusan Melayu sementara beliau bertugas dalam Askar Melayu.

Berapa tajam pun mata pena lebih daripada mata pedang, atau senjata api, keperihan memikul senapang merempuh hutan belantara untuk menentang pengganas komunis, dengan meninggalkan anak isteri, untuk segugusan wang ringgit jauh lebih sukar yang tidak boleh dibandingkan dengan pekerjaan sebagai pemberita yang membuat liputan apa saja peristiwa.

Hidup dalam Askar Melayu pada zaman Darurat jauh lebih sukar daripada bekerja dengan syarikat akhbar Utusan Melayu dalam zaman di mana Parti Komunis Malaya (PKM) telah meletak senjata.

Kalau hendak membayangkan keluasan penguasaan komunis di negara ini, cuba perhatikan kawasan-kawasan yang dilalui di lebuh raya utara selatan (PLUS), lebuh raya timur barat. lebuh raya ke Kuantan dan jalan raya merentasi Pahang ke Kelantan melalui Bentong, Kuala Lipis, Gua Musang dan Kuala Krai. Banyak kawasan itu dikuasai komunis dengan Gua Musang satu-satunya pekan yang diisytiharkan oleh PKM sebagai wilayah yang dibebaskan, maknanya diperintah oleh mereka.

Tetapi tentunya pelik bagaimana banyak orang di seluruh dunia tertarik pada ideologi komunis. Mesti ada sesuatu yang menarik terhadap fahaman itu kerana banyak anak-anak muda sanggup bersusah payah untuk hidup di hutan mengejar cita-cita mewujudkan satu negara idaman.

Perkara menarik mengenai fahaman komunis ialah pegangannya bahawa semua orang mempunyai kedudukan yang setaraf. Dalam negara komunis, mereka mengimpikan sebuah masyarakat yang tidak ada kemiskinan. Sama rata sama rasa.

No comments:

Post a Comment