Followers

Showing posts with label johor. Show all posts
Showing posts with label johor. Show all posts

Monday, December 13, 2010

MB Johor : Lawatan kerja selesai pelbagai masalah

KULAIJAYA: Menteri Besar Johor, Dato Abdul Ghani Othman, berpuas hati dengan siri lawatan kerjanya ke kawasan-kawasan parlimen di seluruh Johor setakat ini kerana ia berjaya menyelesaikan pelbagai masalah termasuk sistem perparitan, sampah tidak diangkut dan penantian mendapatkan hak milik tanah yang berlarutan hingga bertahun-tahun.
Katanya, beliau akan sampai ke empat lagi kawasan parlimen yang belum dilawati, iaitu Pasir Gudang, Batu Pahat, Ledang dan Pagoh awal tahun hadapan.

“Selepas itu saya akan sekali lagi mengadakan lawatan ke seluruh kawasan parlimen di Negeri Johor untuk melihat semula perkembangan perkara-perkara yang dibangkitkan pada lawatan sebelum ini, selain menyelesaikan masalah-masalah baru di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerjanya ke kawasan parlimen Tenggara di sini, Sabtu lalu.

Lawatan kerja Tenggara adalah kawasan parlimen terakhir yang dilawati Abdul Ghani dalam siri lawatan kerjanya untuk tahun ini.

Siri lawatan kerja beliau ke seluruh kawasan parlimen di Johor bermula 11 Jun tahun lalu di kawasan parlimen Muar.

Ia diikuti lawatan ke kawasan parlimen Simpang Renggam pada bulan Julai sebelum terhenti seketika untuk beberapa bulan.

Siri lawatan itu kemudian disambung semula pada Januari tahun ini bermula di kawasan parlimen Tanjung Piai.

Ia seterusnya dilakukan di kawasan-kawasan parlimen lainnya sekurang-kurangnya sekali dalam setiap bulan. Setakat ini Abdul Ghani sudah melawat 22 kawasan parlimen di Johor.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai isu dan masalah rakyat telah berjaya diselesaikan, antaranya kes permohonan hak milik tanah, pembinaan sekolah agama, rumah-rumah ibadat serta masalah sistem perparitan.

Selain itu, beberapa projek khas turut diumumkan di kawasan-kawasan parlimen terbabit, termasuk pembinaan kampus induk di kawasan parlimen Tenggara, pembinaan tembok hakisan pantai di kawasan parlimen Pontian dan pusat petempatan pekerja asing di kawasan parlimen Gelang Patah.

Sumber : Medkom

Monday, November 15, 2010

Lebuh Raya Pasir Gudang dinaik taraf

JOHOR BAHRU 14 Nov. - Kerajaan akan menaik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang daripada empat menjadi enam lorong pada tahun depan dengan kos RM150 juta bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerja-kerja menaik taraf itu akan dilakukan secara berperingkat dengan fasa pertama projeknya membabitkan kos RM40 juta.

"Lebuh Raya Pasir Gudang akan menjadi tiga lorong di setiap hala yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong di sebelah kiri dan kanan.

"Melalui projek naik taraf ini, kesibukan dan kesesakan di lebuh raya itu akan dapat diatasi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Komuniti Polis Daerah Seri Alam, di Dataran Alhamra, Menara Aqabah di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dan Timbalannnya, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat Pasir Gudang berjanji yang kerajaan akan menyelesaikan masalah kesesakan di laluan tersebut.

Khaled berkata, apabila kerja-kerja menaik taraf bermula, semua kenderaan berat boleh menggunakan Lebuh Raya Senai-Desaru dan tidak dibenarkan menggunakan Lebuh Raya Pasir Gudang.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, langkah tersebut adalah untuk sementara waktu bagi mengurangkan kesesakan sehingga projek menaik taraf siap sepenuhnya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta penduduk di sini supaya memberikan kerjasama penuh terhadap program itu untuk memastikan kegiatan jenayah dapat dibanteras.

Katanya, ini kerana bilangan penduduk Pasir Gudang bertambah setiap tahun dan pihak polis tidak boleh berada di setiap tempat untuk menjaga kesejahteraan dan keamanan.

Sementara itu, Mokhtar berkata, indeks jenayah di negeri ini dari Januari hingga bulan lalu menurun sebanyak 24.25 peratus iaitu dengan mencatatkan 5,942 kes.

Bagi tempoh yang sama, katanya, indeks jenayah jalanan turut menurun sebanyak 38.62 peratus dengan bilangan 5,942 kes.

"Kadar jenayah bagi tempoh tersebut yang berjaya diselesaikan ialah sebanyak 42 peratus atau 7,678 kes," katanya dan yakin melalui program itu kadar jenayah di Johor dapat dikurangkan lagi.

Utusan

Tuesday, November 09, 2010

PKR Johor tolak kepimpinan Jui Meng




SEBAHAGIAN ketua-ketua cabang dan anggota PKR Johor memegang kain rentang yang menyifatkan Jui Meng sebagai seorang diktator yang tidak layak menjadi Pengerusi PKR Johor di Batu Pahat, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



BATU PAHAT 7 Nov. – Gaya kepimpinan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng yang didakwa ‘meniru’ dan membawa masuk budaya MCA dan Barisan Nasional (BN) ke dalam parti pembangkang itu ditentang ahli parti tersebut.

Antara yang lantang membidas gaya Jui Meng itu ialah bekas Setiausaha PKR negeri, Saiman Marjuki yang menyatakan tindakan pemimpin itu memalukan kerana menunjukkan seolah-olah PKR tidak mempunyai gaya kepimpinan tersendiri sehingga terpaksa mencedok kaedah yang digunakan parti kerajaan.

Kata Saiman yang merupakan Ketua PKR cabang Sembrong, selain beliau 18 daripada 26 ketua cabang lain turut menentang gaya pimpinan bekas Menteri Kesihatan itu.

“Baru-baru ini Jui Meng mengeluarkan kenyataan di akhbar menyatakan situasi pemilihan jawatan dalam PKR adalah sama seperti MCA dan UMNO.

“Beliau tidak sepatutnya menyentuh tentang MCA kerana ini hanya menunjukkan beliau membawa masuk budaya MCA dan BN ke dalam PKR, seolah-olah kita tidak ada stail kepimpinan sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi.

Saiman berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar yang menyiarkan kenyataan Jui Meng bahawa situasi pemilihan jawatan dalam PKR negeri dilakukan sama seperti yang dilaksanakan dalam MCA dan BN.

Jui Meng dilaporkan berkata, pemilihan jawatan PKR negeri adalah tertakluk kepada hak dan budi bicara beliau sebagai Pengerusi PKR Johor.

Pada sidang akhbar tersebut, kira-kira 20 anggota PKR Johor termasuk lapan ketua cabang membawa kain rentang yang mengandungi perkataan menentang kepimpinan Jui Meng.

Antara ialah ‘Chua Jui Meng diktator, kami anggota PKR menentangnya’, ‘Jui Meng Penghancur Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat Johor’, Cakap Tak Serupa Bikin, Tak Layak Pengerusi Keadilan Johor’.

Saiman berkata, pihaknya akur dengan hak dan budi bicara yang diberikan kepada Pengerusi PKR Johor untuk menentukan jawatan dalam PKR negeri, namun perkara itu mesti terlebih dahulu dibincangkan dengan anggota parti dan ketua cabang.

“Ini tidak, ada orang yang kita tidak kenal tetapi rapat dengan Jui Meng diberi jawatan tanpa ada perbincangan dengan anggota parti.

“Semasa pemilihan jawatan PKR juga, Jui Meng menyarankan agar kami memilih Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden. Sepatutnya beliau sebagai pengerusi tidak memihak kerana parti mengamalkan perjuangan, kebebasan dan ketelusan,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira dua minggu lalu Jui Meng mengadakan mesyuarat PKR negeri dan mengumumkan jawatan dalam PKR Johor tanpa berbincang terlebih dahulu dengan ketua-ketua cabang.

Sehubungan itu, Saiman turut menyifatkan Jui Meng sebagai jeneral tanpa askar dan tidak ubah seperti ‘kaduk naik junjung’.

“Asalnya beliau hanya dipilih sebagai Pengerusi Tugas Khas PKR untuk menakluk Johor, namun kini seperti kaduk naik junjung dengan membuat keputusan tanpa berbincang dengan anggota parti.

“Apa yang dibuatnya dirasakan betul tetapi sebenarnya tiada siapa yang ikut seperti jeneral tanpa askar,” katanya.

Saiman turut mengecam budaya samseng yang dibimbanginya semakin menular dalam PKR apabila beliau sendiri menerima dua ugutan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seseorang.

“Saya menerima dua SMS berbaur ugutan daripada individu sama pada 31 Oktober lalu dan semalam. Demi keselamatan, saya membuat laporan di Balai Polis Renggam pada 1 November lalu dan semalam,” katanya.

Saiman berkata, antara kandungan SMS itu menyarankan beliau meninggalkan PKR dan menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), malah pengirim SMS turut menyuruh beliau menghentikan hasutan sebelum pengirim hilang pertimbangan.

Thursday, October 28, 2010

Orang Asli terus diberi bantuan

KOTA TINGGI 27 Okt. - Warga Orang Asli keturunan Jakun di tiga kampung di sini amat mengalu-alukan kehadiran dermawan termasuk jabatan kerajaan dan swasta untuk membantu meringankan beban kehidupan mereka.

Ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini, mereka amat mengalu-alukan sebarang program bantuan untuk menampung keperluan harian mereka, di samping banyak ilmu kehidupan yang boleh dikongsi bersama.

Hakikat itu dinyatakan sendiri oleh Tok Batin, Kampung Sayong Pinang, Antoi Mabot, 60, yang menyifatkan kehadiran dermawan telah banyak mengubah kehidupan penduduk di kawasan itu.

Kata Antoi, banyak kemudahan yang diberikan di kampung itu seperti elektrik, air paip, padang permainan, sekolah rendah, balai raya dan kemudahan lain.

"Yang kami merasa bertuah dan bersyukur, kini sebanyak 12 penduduk mendapat rumah di bawah Program Pembangunan Rumah Termiskin (PPRT), yang membolehkan mereka tinggal dengan selesa.

"Kami mengharapkan lebih banyak lagi rumah seumpama itu dibina demi keselesaan penduduk di sini," katanya.

Antoi turut mengakui warga penduduk di situ turut mendapat perhatian yang istimewa dari Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang kerap meninjau masalah penduduk kampung itu.

Baca sterusnya di Utusan Malaysia

Lima ditangkap positif dadah




JOHOR BAHRU – Seramai lima individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri ini selepas positif dadah dalam satu serbuan di sebuah kawasan lapang di Jalan Dato Dalam, di sini, semalam. 

Operasi selama tiga jam yang dinamakan sebagai Ops Res-Q di lokasi terbabit dan sebuah tanah lapang berhampiran Danga City Mall itu bermula sekitar jam 3.30 hingga 6.30 petang dengan kekuatan 15 pegawai dan anggota AADK negeri. 

Ketua Unit Operasi AADK negeri, Zulhilmi Ahmat berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam seterusnya membuat intipan selama tiga hari di dua lokasi terbabit. 

Menurutnya, pihaknya menahan empat lelaki dan seorang wanita di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 selepas didapati positif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan. 

baca seterusnya di Sinar Harian

Kerajaan Negeri Johor sasar pendapatan keluarga miskin RM2,000

MUAR 27 Okt. - Kerajaan negeri mahu menaikkan taraf pendapatan keluarga miskin ke paras lebih RM2,000 sebulan sebagai salah satu fokus dalam Belanjawan Johor 2011 yang bakal dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 11 November ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kerajaan negeri akan merangka strategi untuk mempelbagaikan sumber pendapatan keluarga miskin menerusi penglibatan dalam Industri Kecil Sederhana (IKS) serta kegiatan pertanian.

"Walaupun kerajaan negeri hampir berjaya menangani masalah miskin tegar, kira-kira 30 peratus daripada isi rumah di negeri ini masih memperoleh pendapatan di bawah paras RM2,000 sebulan.

"Oleh itu, kerajaan negeri merangka program untuk mempelbagaikan sumber pendapatan keluarga miskin ini dan mengenal pasti peluang supaya anak-anak mereka juga dapat latihan kemahiran, tidak kira di universiti atau pusat-pusat kemahiran," katanya.

Baca seterusnya di Utusan Malaysia

Friday, April 30, 2010

Isu Setinggan 8 Perkampungan di Johor Bahru : Kerajaan Johor tawarkan rumah pangsa

isu ini banyak ditimbulkan dalam ceramah Pakatan rakyat yang mendakwa kerajaan negeri tidak membela nasib penduduk Melayu dan sebagainya.

Namun tuduhan ini melesat bahkan hanya berniat jahat semat-mata, Kerajaan negeri Johor telah mengambil tindakan untuk membantu penduduk setinggan tersebut. [Rujuk sini]

Berikut adalah beirta penuh yang dikeluarkan :

Penduduk di Lapan buah perkampungan setinggan di pinggiran Sungai Tebrau di sini akan ditawarkan rumah pangsa mampu milik yang dilengkapi dengan kemudahan lebih selesa di bawah program penempatan semula setinggan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman menyampaikan Sijil Kelayakan Memilik Rumah kepada ketua-ketua masyarakat lapan kampung yang terlibat di rumah contoh projek, bersebelahan PPR Sri Stulang bersempena lawatan beliau ke kawasan Parlimen Johor Bahru, hari ini.
Program RM303 juta ini merupakan antara yang terbesar di Johor buat masa ini. Ia bakal memperbaiki tahap sosio-ekonomi penduduk di sepanjang Sungai Tebrau yang sekian lama menghuni kawasan tersebut dalam keadaan kurang selesa dan tidak tersusun.

Perpindahan menyeluruh ini juga akan memberi laluan kepada Projek Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) yang akan melalui kawasan perkampungan terlibat. Kerja-kerja pembinaan lebuhraya kini sedang rancak dijalankan dan dijangka akan siap menjelang penghujung tahun 2011.

Di bawah program penempatan semula ini, Kerajaan akan membina 10 blok rumah pangsa setinggi 11 tingkat lengkap dengan kemudahan awam dalam lingkungan 5 km dari penempatan asal mereka yang terlibat.

Rumah pangsa ini akan dibina oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (syarikat pelaburan kerajaan negeri) dengan Tebrau Teguh Berhad yang dilantik sebagai pemaju bersama dan kontraktor utama projek.

Kumpulan pertama penduduk dijangka akan berpindah ke rumah baru mereka pada awal tahun 2012.

Pembahagian unit-unit rumah pangsa ini berdasarkan kepada 2 katogeri utama.

Kategori pertama terdiri daripada 1,360 keluarga yang sebelum ini memiliki Lesen Pendudukan Sementara (TOL). Mereka layak membeli rumah yang bersaiz agak besar dengan subsidi lumayan pada harga RM35,000.00 seunit.

Harga pasaran bagi unit-unit ini melebihi RM80,000.00 seunit, berkeluasan lantai 850 kaki persegi dan dilengkapi 3 bilik tidur serta 2 bilik air.

Mereka yang dikenalpasti untuk kategori ini ialah dari Kg. Belantik, Kg. Desa Jaya, Kg. Desa Makmur, Kg. Desa Melayu, Kg, Tengah, Kg. Datuk Hajjah Hasnah, Kg. Tok Siak dan Kg. Bakar Batu.

Kerja-kerja pembinaan rumah-rumah pangsa ini sedang dilaksanakan di empat plot berbeza di persekitaran Kg. Bakar Batu, Kem Majidee, Kg. Tok Siak dan PPR Sri Stulang.

Bagi mengekalkan keakraban sesama keluarga, kerajaan akan cuba menempatkan mereka ini di plot dan blok yang sama mengikut kampung asal masing-masing.

Sejumlah 1,360 keluarga lain pula turut ditawarkan unit-unit di tingkat 6 hingga 10 di setiap blok yang berkeluasan 750 kaki persegi dengan harga jualan RM50,000.00 seunit.

Perbincangan sedang dijalankan dengan bank-bank komersil bagi merangka satu skim pinjaman perumahan yang khusus dalam usaha memastikan ke semua 2,720 buah keluarga ini mampu memiliki rumah berkenaan.

Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan sebuah “Dana Khas Penyelenggaraan Bangunan” sebanyak RM1 juta bagi setiap blok untuk membantu membiayai kos penyelenggaraan. Ianya juga bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat dijalankan dengan sempurna.

Dana hasil dari unit-unit yang dijual pula akan digunakan bagi menampung kos penyelenggaraan kemudahan am seperti lif, surau, taman permainan, tadika, dewan orang ramai, kedai-kedai runcit, kedai-kedai makanan dan juga landskap.

MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd (MLSSB), syarikat yang melaksanakan projek EDL, juga telah menyediakan RM10 juta sebagai bantuan kepada 424 buah keluarga yang menduduki tanah di atas laluan EDL.

Mereka akan menerima subsidi sewa sebanyak RM13,680 atau bersamaan dengan RM380 sebulan bagi tempoh tiga tahun, juga kos semasa berpindah sejumlah RM2,000.

Keluarga ini akan ditempatkan di Perumahan Rakyat Desa Mutiara di Kempas, kira-kira 8 km dari rumah asal mereka, sementara menunggu perumahan tetap di Kem Majidee siap sepenuhnya.

Program pemindahan setinggan ini dilaksanakan hasil usaha Kerajaan Negeri Johor di bawah skim yang disediakan oleh Kerajaan Pusat bagi pembersihan 3 buah sungai iaitu Sungai Tebrau, Sungai Skudai dan Sungai Segget.

Sunday, April 25, 2010

Cara Pengibaran Bendera Di Johor


Berikutan kekeliruan mengenai pengibaran bendera negeri Johor dan bendera Malaysia di bangunan-bangunan di negeri ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengeluarkan satu pekeliling khas mengenainya.

Menurut pekeliling itu, pengibaran bendera Johor mestilah lebih tinggi daripada bendera Malaysia.

Penentuan arah pandangan pengibaran bendera pula adalah pandangan dari luar bangunan memandang ke arah bangunan.

Bagi pengibaran bendera yang melibatkan bendera Johor dan Malaysia, kedudukan bendera Johor adalah di sebelah kiri manakala bendera Malaysia di sebelah kanan.

Bagi pengibaran tiga bendera, kedudukan bendera Johor adalah di tengah-tengah, bendera Malaysia di sebelah kiri sementara bendera daerah atau pertubuhan di sebelah kanan.

Wednesday, March 10, 2010

Tiga Projek jalan raya luar bandar siap dibina

LEDANG: Tiga daripada sembilan projek pembinaan jalan luar bandar dan jambatan yang diluluskan oleh kerajaan pusat untuk kerajaan Negeri Johor dalam Rancangan Malaysia Ke-9 telah siap dibina, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerjaraya dan Kemudahan Awam Negeri Johor, Dato' Ahmad Zahri Jamil.

Tiga projek yang berjaya disiapkan ialah pembinaan jalan Parit Maimon, Batu Pahat; jalan dari Central Paloh ke Paloh, Kluang; dan menggantikan jambatan Sungai Yah yang menghubungkan jalan dari Nyior ke Chamek, Kluang.

Projek-projek yang masih dalam pembinaan ialah pembinaan jambatan menghubungkan jalan Parit Haji Salleh ke jalan Parit Buluh, Mukim 5, Batu Pahat; jalan dari Redong ke Selancar (Pahang); jalan dari pekan Renggam ke Felda Ulu Belitong, Kluang; jalan pintas dari Sengkang ke Felda Inas, Bandar Tenggara; membina jambatan dan jalan dari Bukit Kepong ke Felda Maokil, Ledang

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerjaraya dan Kemudahan Awam Negeri Johor, Dato' Ahmad Zahri Jamil.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jalan Sengkang - Kampung Teratai, yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman, di sini, Sabtu lalu.

Menurut Ahmad Zahri, projek yang dibina melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar itu dipantau secara berterusan bagi memastikan rakyat menikmati usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya lagi, bagi menentukan cadangan jajaran jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mempertimbangkan beberapa faktor seperti menggunakan sebanyak mungkin rizab jalan berturap di samping mengurangkan jumlah keluasan pengambilan balik tanah.

"Turut diberi perhatian adalah kawasan yang dianggap sensitif oleh penduduk setempat seperti rumah ibadat, tanah perkuburan dan sekolah di samping mengurangkan kos pembinaan secara keseluruhan," katanya.

Wednesday, November 25, 2009

Lima Klinik 1Malaysia akan dibina di tiga daerah

NUSAJAYA 24 Nov. - Kerajaan negeri akan membina lima Klinik 1Malaysia di tiga lokasi berbeza iaitu Johor Bahru, Kulaijaya dan Kluang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, tiga klinik 1Malaysia dibina di Johor Bahru iaitu di Rumah Pangsa Stulang, Rumah Pangsa Bandar Seri Alam dan Taman Megah Ria, Masai dekat sini.

Beliau berkata, dua lagi akan dibina di lot rumah kedai Taman Senai Utama, Kulaijaya dan Rumah Kedai Taman Seri Lambak, Kluang.

"Kawasan ini dipilih kerana kebanyakan penduduk memiliki pendapatan sederhana dan jarak dari klinik kesihatan sedia ada berada dalam lingkungan 10 kilometer.

"Penduduk di kawasan ini juga berbilang kaum sesuai dengan slogan 1Malaysia," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Baderi Dusuki (BN-Panti) mengenai lokasi serta perkhidmatan yang disediakan di Klinik 1Malaysia.

Robia berkata, Klinik 1Malaysia itu dijangka mula beroperasi pada Januari dan Februari depan.

Beliau berkata, klinik tersebut akan beroperasi selama lima hari seminggu bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

"Klinik ini menyediakan perkhidmatan perubatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar sesuai gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Secara tidak langsung ia dijangka membantu mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan sedia ada dan akses masyarakat untuk mendapatkan rawatan ringan terutama di kawasan bandar dapat dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata, Klinik 1Malaysia menyediakan perkhidmatan meliputi rawatan ringan, susulan kes penyakit kronik, prosedur rawatan ringan dan khidmat nasihat.

Beliau berkata, skop perkhidmatan itu dikendalikan oleh penolong pegawai perubatan dan jururawat terlatih.

Tambahan RM2 juta baik pulih sekolah agama

NUSAJAYA 24 Nov. - Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) meluluskan peruntukan tahunan tambahan sebanyak RM2 juta untuk membaik pulih dan membeli perabot baru bagi Sekolah Agama Kerajaan Johor mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Othman berkata, dengan peruntukan tambahan itu, peruntukan keseluruhan bagi tujuan itu berjumlah RM4.5 juta setahun.

"Bagi 2009, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta untuk tujuan penyelenggaraan setiap sekolah agama milik kerajaan di 10 daerah di negeri ini.

"Pemeriksaan berkala oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) turut dilaksanakan bagi memastikan setiap sekolah berada dalam keadaan selamat dan selesa," katanya menjawab soalan Ja'affar Hashim (BN-Senggarang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, pihaknya turut menerima permohonan daripada wakil-wakil rakyat, pemimpin setempat dan badan-badan kebajikan sekolah-sekolah agama untuk membaik pulih sekolah di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, keutamaan peruntukan akan diberikan bagi memperbaiki kerosakan melibatkan bumbung sekolah, tandas dan sistem pendawaian elektrik yang bermasalah di sekolah berkenaan.

"Kerajaan sentiasa mengambil berat tentang perkara seperti ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan setiap pelajar berada dalam keadaan selamat dan menikmati suasana pembelajaran yang selesa," katanya.

Pelancongan sumbang RM1.1b untuk ekonomi Johor

NUSAJAYA 24 Nov. - Johor meraih pendapatan sebanyak RM1.1 bilion melalui industri pelancongan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Hoo Seong Chang berkata, jumlah berkenaan dijangka terus meningkat berikutan negeri ini menerima ramai kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, lebih RM3.4 bilion diperoleh daripada 1.7 juta pelancong yang menginap di hotel di seluruh Johor.

"Berdasarkan rekod jumlah pelancong tahun lalu, sebanyak 4.7 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong di Malaysia datang dari Johor, manakala selebihnya dibelanjakan pelawat harian yang berkunjung ke negeri ini, khususnya di Johor Bahru.

"Selain itu, jumlah keseluruhan pelawat harian Singapura yang berkunjung ke Malaysia adalah seramai 2.1 juta, sekali gus menjana jumlah pendapatan sebanyak RM360 juta melalui pengaliran mata wang asing ini," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Sulaiman Taha (BN-Tenang) dan Datuk Osman Sapian (BN-Kempas) mengenai jumlah perbelanjaan melalui tukaran mata wang asing yang dibelanjakan pelancong ke negeri ini dan statistik industri pelancongan.

Seong Chang berkata, rekod Jabatan Imigresen Johor menunjukkan jumlah kemasukan warga asing ke negeri ini meningkat sebanyak 4.7 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu seramai 7,351,710 orang berbanding 7,081,282 orang bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagi pecahan mengikut negara pula, Singapura masih mendahului 10 pasaran utama untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi kemasukan ke negeri ini iaitu seramai 6,043,618 orang diikuti pelancong dari Indonesia (401,882) dan China (202,669).

"Pelancong lain yang turut membantu menjana pendapatan Johor adalah Filipina seramai 118,215 orang, diikuti India (101,875), Jepun (76,604), Thailand (41,391), United Kingdom dan Ireland (40,349) selain Korea Selatan (39,384) dan Australia (32,318)," katanya.

KPMNJ cari rakan kongsi maju tanah


JOHOR BAHRU: Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) mencari rakan kongsi bagi memajukan tanah miliknya di Jalan Kolam Air, bersebelahan bekas tapak Penjara Johor Bahru dengan cadangan projek komersial yang difikirkan sesuai.

Pengerusinya, Datuk Prof Mohamad Ali Hasan, berkata pihaknya sedia menerima sebarang pihak yang mewakili syarikat atau orang perseorangan yang berminat untuk membangunkan tanah berkenaan yang ketika ini dijadikan tempat meletak kenderaan sementara.

Beliau berkata, tanah berkenaan sesuai dibangunkan hotel atau bangunan pejabat kerana kedudukannya di tengah kawasan bandar raya selain mempunyai nilai estetika kerana bersebelahan Penjara Johor Bahru dan dilengkapi kemudahan asas.

“Pihak koperasi sedia menerima sebarang cadangan daripada sebarang pihak yang berminat menjadi rakan kongsi KPMNJ di atas tanah berkenaan.

“Mereka yang berminat boleh mengemukakan cadangan rasmi kepada koperasi untuk kami nilaikan. Bagaimanapun cadangan berkenaan perlu mengemukakan maklumat lengkap berserta cadangan projek yang bakal dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata, KPMNJ kini dianggotai lebih 10,000 ahli di kalangan rakyat Johor di setiap daerah dengan menjadikan aspek hartanah, pertanian, ternakan dan pelancongan sebagai aktiviti perniagaan utama.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan koperasi berkenaan di talian 07-2232050

Sumber: Berita Harian, 24 November 2009

Iklan Jawatan Kosong Majlis Daerah Mersing

Permohonan adalah dipelawa daripada Rakyat Negeri Johor Darul Ta’zim atau Warganegara Malaysia yang berkelayakan dan berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan untuk mengisi kekosongan jawatan di Majlis Daerah Mersing.

Maklumat lanjut boleh muat turun iklan di Iklan Jawatan Kosong Majlis Daerah Mersing

Tarikh tutup permohonan 7 Disember 2009

Tuesday, November 24, 2009

MAIJ kutip zakat RM86.4 juta

MUAR 23 Nov. - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sehingga kini berjaya memperoleh kutipan zakat sebanyak RM86.4 juta iaitu lebih 70 peratus daripada RM110 juta yang disasarkan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ, Abd. Rahman Jaafar, daripada jumlah tersebut, sebanyak 70 peratus daripadanya telah diagihkan mengikut asnaf-asnaf yang ditetapkan.

"Kita akan memperluaskan lagi kutipan dan usaha akan turut ditingkatkan bagi menggalakkan lebih ramai orang membayar zakat secara potongan gaji bulanan.

"Zakat pendapatan adalah penyumbang kedua terbesar dalam kutipan keseluruhan namun jumlah yang kita peroleh melalui potongan gaji bulan adalah hanya sekitar RM33,000 setiap bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat kepada penduduk kawasan Pagoh pada majlis Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) Universiti Putra Malaysia (UPM) di Kampung Seri Tanjung, Panchor di sini baru-baru ini.

Antara penerima sumbangan ialah Basitah Monel, 73, serta Jovita Gahuk, 37, yang menerima bantuan sara hidup bulanan serta Samsiah Sidik, 41, yang menerima bantuan membina rumah.

Terdahulu, seramai 68 pelajar universiti berkenaan mengadakan gotong-royong mengecat surau, membaiki rumah penduduk fakir miskin, membersihkan tanah perkuburan dan menyampaikan hamper bantuan kepada penduduk miskin.

Menurut Abd. Rahman, pengagihan bantuan zakat yang dikenali sebagai Program Insaniyah itu dapat memberi keyakinan kepada masyarakat Islam khususnya pembayar zakat mengenai sumbangan yang diberikan kepada golongan yang memerlukan.

"Dengan adanya usaha ini, kita dapat meringankan beban golongan kurang bernasib dan seterusnya memberikan mereka semangat dan MAIJ akan memberikan perkhidmatan terbaik sama ada dari segi wang ringgit dan juga tenaga," katanya.

Katanya lagi, MAIJ akan berganding bahu dengan semua pihak yang terlibat dalam memastikan sasaran miskin sifar menjelang 2010 akan berjaya dicapai.

UNDP puji Johor sedia kerja OKU

JOHOR BAHRU 23 Nov. - Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) memuji usaha kerajaan negeri meningkatkan pengambilan pekerja di kalangan orang kurang upaya (OKU) dengan mewujudkan Unit Pengambilan Pekerjaan untuk OKU.

Wakil Penolong Residen UNDP Malaysia, James George Chacko berkata, penubuhan unit itu membolehkan kerajaan negeri mewujudkan hubungan kerjasama yang cukup baik antara golongan OKU dan majikan.

"Projek perintis yang dimulakan sejak tahun lalu itu berjaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada OKU dalam sektor awam dan swasta di negeri ini.

"Ia secara tidak langsung memberi lebih banyak pilihan kepada OKU untuk mendapatkan pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Mengenai Pekerjaan dan Pekerja Kurang Upaya 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) di sini hari ini.

James melahirkan rasa gembira terhadap usaha kerajaan negeri memberi ruang dan kemudahan kepada golongan seperti itu menempatkan diri dalam bidang pekerjaan.

Iklan Jawatan Kosong Majlis Perbandaran Kluang


Permohonan adalah dipelawa kepada Rakyat Negeri Johor Darul Ta’zim atau Warganegara Malaysia yang berkelayakan dan berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan untuk mengisi kekosongan jawatan di Majlis Perbandaran Kluang.

Maklumat lanjut boleh muat turun iklan di Iklan Jawatan Kosong Majlis Perbandaran Kluang

Borang permohonan boleh muat turun di Borang Permohonan Jawatan Majlis Perbandaran Kluang

Tarikh tutup permohonan 30 NOVEMBER 2009


Sumber : Portal rasmi kerajaan Johor

Johor hab perubatan antarabangsa

JOHOR BAHRU 23 Nov. - Johor bakal menjadi hab perubatan di peringkat tempatan dan antarabangsa apabila sebuah hospital awam dan pusat kesihatan termaju dibuka di Nusajaya dekat sini tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, hospital berkenaan terletak dalam Bandar Perubatan Nusajaya bagi melengkapkan keperluan perkhidmatan perubatan di negeri ini.

"Proses menubuhkan hospital tersebut masih dalam peringkat perancangan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Hospital Pakar Regency di Seri Alam, Pasir Gudang di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pusat kesihatan berkenaan pula akan dibina dengan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Abdul Ghani berkata, perbincangan mengenainya akan dijalankan dalam tempoh terdekat ini berdasarkan mesyuarat pegawai-pegawai kerajaan kedua-dua negara pada tahun depan.

Menurutnya, kemudahan perubatan di Johor dijangka merancakkan pelancongan perubatan apabila negeri ini dikunjungi pelawat dari luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan.