Followers

Wednesday, November 25, 2009

Tambahan RM2 juta baik pulih sekolah agama

NUSAJAYA 24 Nov. - Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) meluluskan peruntukan tahunan tambahan sebanyak RM2 juta untuk membaik pulih dan membeli perabot baru bagi Sekolah Agama Kerajaan Johor mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Othman berkata, dengan peruntukan tambahan itu, peruntukan keseluruhan bagi tujuan itu berjumlah RM4.5 juta setahun.

"Bagi 2009, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta untuk tujuan penyelenggaraan setiap sekolah agama milik kerajaan di 10 daerah di negeri ini.

"Pemeriksaan berkala oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) turut dilaksanakan bagi memastikan setiap sekolah berada dalam keadaan selamat dan selesa," katanya menjawab soalan Ja'affar Hashim (BN-Senggarang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, pihaknya turut menerima permohonan daripada wakil-wakil rakyat, pemimpin setempat dan badan-badan kebajikan sekolah-sekolah agama untuk membaik pulih sekolah di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, keutamaan peruntukan akan diberikan bagi memperbaiki kerosakan melibatkan bumbung sekolah, tandas dan sistem pendawaian elektrik yang bermasalah di sekolah berkenaan.

"Kerajaan sentiasa mengambil berat tentang perkara seperti ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan setiap pelajar berada dalam keadaan selamat dan menikmati suasana pembelajaran yang selesa," katanya.

No comments:

Post a Comment