Followers

Wednesday, November 25, 2009

Pelancongan sumbang RM1.1b untuk ekonomi Johor

NUSAJAYA 24 Nov. - Johor meraih pendapatan sebanyak RM1.1 bilion melalui industri pelancongan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Hoo Seong Chang berkata, jumlah berkenaan dijangka terus meningkat berikutan negeri ini menerima ramai kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, lebih RM3.4 bilion diperoleh daripada 1.7 juta pelancong yang menginap di hotel di seluruh Johor.

"Berdasarkan rekod jumlah pelancong tahun lalu, sebanyak 4.7 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong di Malaysia datang dari Johor, manakala selebihnya dibelanjakan pelawat harian yang berkunjung ke negeri ini, khususnya di Johor Bahru.

"Selain itu, jumlah keseluruhan pelawat harian Singapura yang berkunjung ke Malaysia adalah seramai 2.1 juta, sekali gus menjana jumlah pendapatan sebanyak RM360 juta melalui pengaliran mata wang asing ini," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Sulaiman Taha (BN-Tenang) dan Datuk Osman Sapian (BN-Kempas) mengenai jumlah perbelanjaan melalui tukaran mata wang asing yang dibelanjakan pelancong ke negeri ini dan statistik industri pelancongan.

Seong Chang berkata, rekod Jabatan Imigresen Johor menunjukkan jumlah kemasukan warga asing ke negeri ini meningkat sebanyak 4.7 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu seramai 7,351,710 orang berbanding 7,081,282 orang bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagi pecahan mengikut negara pula, Singapura masih mendahului 10 pasaran utama untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi kemasukan ke negeri ini iaitu seramai 6,043,618 orang diikuti pelancong dari Indonesia (401,882) dan China (202,669).

"Pelancong lain yang turut membantu menjana pendapatan Johor adalah Filipina seramai 118,215 orang, diikuti India (101,875), Jepun (76,604), Thailand (41,391), United Kingdom dan Ireland (40,349) selain Korea Selatan (39,384) dan Australia (32,318)," katanya.

No comments:

Post a Comment