Followers

Wednesday, November 25, 2009

KPMNJ cari rakan kongsi maju tanah


JOHOR BAHRU: Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) mencari rakan kongsi bagi memajukan tanah miliknya di Jalan Kolam Air, bersebelahan bekas tapak Penjara Johor Bahru dengan cadangan projek komersial yang difikirkan sesuai.

Pengerusinya, Datuk Prof Mohamad Ali Hasan, berkata pihaknya sedia menerima sebarang pihak yang mewakili syarikat atau orang perseorangan yang berminat untuk membangunkan tanah berkenaan yang ketika ini dijadikan tempat meletak kenderaan sementara.

Beliau berkata, tanah berkenaan sesuai dibangunkan hotel atau bangunan pejabat kerana kedudukannya di tengah kawasan bandar raya selain mempunyai nilai estetika kerana bersebelahan Penjara Johor Bahru dan dilengkapi kemudahan asas.

“Pihak koperasi sedia menerima sebarang cadangan daripada sebarang pihak yang berminat menjadi rakan kongsi KPMNJ di atas tanah berkenaan.

“Mereka yang berminat boleh mengemukakan cadangan rasmi kepada koperasi untuk kami nilaikan. Bagaimanapun cadangan berkenaan perlu mengemukakan maklumat lengkap berserta cadangan projek yang bakal dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata, KPMNJ kini dianggotai lebih 10,000 ahli di kalangan rakyat Johor di setiap daerah dengan menjadikan aspek hartanah, pertanian, ternakan dan pelancongan sebagai aktiviti perniagaan utama.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan koperasi berkenaan di talian 07-2232050

Sumber: Berita Harian, 24 November 2009

No comments:

Post a Comment