Followers

Tuesday, November 09, 2010

PKR Johor tolak kepimpinan Jui Meng




SEBAHAGIAN ketua-ketua cabang dan anggota PKR Johor memegang kain rentang yang menyifatkan Jui Meng sebagai seorang diktator yang tidak layak menjadi Pengerusi PKR Johor di Batu Pahat, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



BATU PAHAT 7 Nov. – Gaya kepimpinan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng yang didakwa ‘meniru’ dan membawa masuk budaya MCA dan Barisan Nasional (BN) ke dalam parti pembangkang itu ditentang ahli parti tersebut.

Antara yang lantang membidas gaya Jui Meng itu ialah bekas Setiausaha PKR negeri, Saiman Marjuki yang menyatakan tindakan pemimpin itu memalukan kerana menunjukkan seolah-olah PKR tidak mempunyai gaya kepimpinan tersendiri sehingga terpaksa mencedok kaedah yang digunakan parti kerajaan.

Kata Saiman yang merupakan Ketua PKR cabang Sembrong, selain beliau 18 daripada 26 ketua cabang lain turut menentang gaya pimpinan bekas Menteri Kesihatan itu.

“Baru-baru ini Jui Meng mengeluarkan kenyataan di akhbar menyatakan situasi pemilihan jawatan dalam PKR adalah sama seperti MCA dan UMNO.

“Beliau tidak sepatutnya menyentuh tentang MCA kerana ini hanya menunjukkan beliau membawa masuk budaya MCA dan BN ke dalam PKR, seolah-olah kita tidak ada stail kepimpinan sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi.

Saiman berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar yang menyiarkan kenyataan Jui Meng bahawa situasi pemilihan jawatan dalam PKR negeri dilakukan sama seperti yang dilaksanakan dalam MCA dan BN.

Jui Meng dilaporkan berkata, pemilihan jawatan PKR negeri adalah tertakluk kepada hak dan budi bicara beliau sebagai Pengerusi PKR Johor.

Pada sidang akhbar tersebut, kira-kira 20 anggota PKR Johor termasuk lapan ketua cabang membawa kain rentang yang mengandungi perkataan menentang kepimpinan Jui Meng.

Antara ialah ‘Chua Jui Meng diktator, kami anggota PKR menentangnya’, ‘Jui Meng Penghancur Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat Johor’, Cakap Tak Serupa Bikin, Tak Layak Pengerusi Keadilan Johor’.

Saiman berkata, pihaknya akur dengan hak dan budi bicara yang diberikan kepada Pengerusi PKR Johor untuk menentukan jawatan dalam PKR negeri, namun perkara itu mesti terlebih dahulu dibincangkan dengan anggota parti dan ketua cabang.

“Ini tidak, ada orang yang kita tidak kenal tetapi rapat dengan Jui Meng diberi jawatan tanpa ada perbincangan dengan anggota parti.

“Semasa pemilihan jawatan PKR juga, Jui Meng menyarankan agar kami memilih Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden. Sepatutnya beliau sebagai pengerusi tidak memihak kerana parti mengamalkan perjuangan, kebebasan dan ketelusan,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira dua minggu lalu Jui Meng mengadakan mesyuarat PKR negeri dan mengumumkan jawatan dalam PKR Johor tanpa berbincang terlebih dahulu dengan ketua-ketua cabang.

Sehubungan itu, Saiman turut menyifatkan Jui Meng sebagai jeneral tanpa askar dan tidak ubah seperti ‘kaduk naik junjung’.

“Asalnya beliau hanya dipilih sebagai Pengerusi Tugas Khas PKR untuk menakluk Johor, namun kini seperti kaduk naik junjung dengan membuat keputusan tanpa berbincang dengan anggota parti.

“Apa yang dibuatnya dirasakan betul tetapi sebenarnya tiada siapa yang ikut seperti jeneral tanpa askar,” katanya.

Saiman turut mengecam budaya samseng yang dibimbanginya semakin menular dalam PKR apabila beliau sendiri menerima dua ugutan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seseorang.

“Saya menerima dua SMS berbaur ugutan daripada individu sama pada 31 Oktober lalu dan semalam. Demi keselamatan, saya membuat laporan di Balai Polis Renggam pada 1 November lalu dan semalam,” katanya.

Saiman berkata, antara kandungan SMS itu menyarankan beliau meninggalkan PKR dan menyertai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), malah pengirim SMS turut menyuruh beliau menghentikan hasutan sebelum pengirim hilang pertimbangan.

No comments:

Post a Comment