Followers

Monday, April 27, 2009

Kajian terperinci pemberian AP

Oleh Zainab Mohd Yatim
zmy@bharian.com.my

Kaedah komprehensif, penyelesaian terbaik permit import dicari: Mukhriz

JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang melakukan kajian menyeluruh dan terperinci berhubung dasar pemberian permit import (AP) bagi kenderaan serta akan membuat keputusan muktamad sama ada ia akan dimansuhkan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata isu berkaitan AP kenderaan adalah agenda paling utama yang sedang dibincang dan akan diputuskan segera kementeriannya.

"Di Miti, perkara ini adalah agenda tertinggi yang dibincang dan kita akan memutuskan satu mekanisme baru berhubung AP. Kami mahu melihat perkara itu dalam konteks yang komprehensif dan membuat penyelesaian yang memuaskan hati semua pihak.

"Beri kami sedikit masa sebelum menteri Miti membuat keputusan akhir untuk diluluskan Kabinet. Saya tidak pasti bila, tetapi ia akan dilakukan secepat mungkin," katanya di sini, semalam.

Mukhriz berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Usahawan Bumiputera anjuran bersama Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan anak syarikatnya, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Simposium dihadiri lebih 200 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan perniagaan dan keusahawanan negeri itu, dianjur sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009, yang berlangsung di Plaza Angsana.

Ditanya sama ada keputusan yang akan dibuat, termasuk kemungkinan memansuhkan dasar AP, beliau berkata: "Ia adalah satu daripada pilihan yang ada, tetapi masih juga ada beberapa alternatif atau pendekatan lain yang boleh diputuskan.

"Apa pun, asasnya adalah jika ia membabitkan levi atau cukai, hanya kerajaan yang seharusnya mendapat manfaat dan bukannya pihak tertentu semata-mata. Jika ada penjimatan kos daripada dasar AP itu, akhirnya ia perlu memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Mengenai pembukaan pasaran bagi 27 sektor kecil perkhidmatan kepada pelabur asing yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, Mukhriz berkata, beliau yakin langkah berkenaan dapat membantu menarik pelaburan langsung asing (FDI).

"Buat masa ini kita belum membuat jangkaan mengenai jumlah FDI yang akan masuk dengan pembukaan pasaran itu, tetapi kita yakin liberalisasi berkenaan yang membabitkan pegangan ekuiti sedikit sebanyak mampu menarik pelabur ke negara kita," katanya.

Mukhriz berkata, langkah kerajaan membenarkan pembukaan pasaran bagi sektor terbabit juga sebenarnya dibuat bagi meningkatkan daya saing negara yang ketika ini agak terkebelakang berbanding beberapa negara jiran.

No comments:

Post a Comment