Followers

Sunday, May 31, 2009

Menilai hujah Husam

  • PADA tahun 1993, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Naib Presiden UMNO telah melakukan satu perkara yang di luar tradisi UMNO, apabila mengadakan sidang akhbar khas di Ibupejabat UMNO bagi mengumumkan kesediaan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti dan sekali gus mencabar kedudukan Tun Ghafar Baba. Langkah Anwar menjadi bualan hangat kerana sebelum ini tidak pernah ada pemimpin parti itu yang berbuat demikian.
  • 'Peristiwa' tersebut seolah-olah berulang kembali tetapi kali ini di dalam Pas pula, apabila Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengadakan sidang akhbar di Ibupejabat Pas pada Isnin lalu bagi mengumumkan secara rasmi hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas sekali gus mencabar kedudukan penyandang jawatan itu, Nasharuddin Mat Isa.
  • Dengan keputusan Husam yang sebelum ini mengaku berkawan baik dengan Anwar, ia bermakna, jawatan nombor dua parti itu akan menyaksikan pertarungan tiga penjuru iaitu antara Nasharuddin, Husam dan Mohamad Sabu. Walaupun sebelum ini, Pas sering mengharapkan agar perebutan jawatan tertinggi berakhir dengan perundingan atau syura namun adalah jelas kini, budaya berkenaan sudah menjadi sejarah kepada Pas.
  • Apa yang menarik dalam hujahnya bagi 'menghalalkan' langkahnya untuk bertanding, Husam menegaskan, keputusan muktamad itu dibuat kerana wujud keperluan semasa yang mendesak bagi menyemak peringkat tertentu dalam Pas termasuk berhubung isu mengadakan kerjasama dengan UMNO.
  • ''Saya berpendirian sudah sampai masa Pas berusaha menggantikan tempat UMNO sebagai teraju utama politik negara dan ini hanya boleh dilakukan dengan parti ini menjadi pesaing UMNO dan bukan rakan dalam apa bentuk ikatan," tegas beliau.

  • Sebenarnya adalah menjadi hak Husam untuk bertanding, malah menjadi hak beliau mengeluarkan apa juga hujah bagi mempertahankan keputusannya untuk bertanding tetapi untuk mengaitkan soal kerjasama dengan UMNO sebagai salah satu alasan, ia bukanlah satu tindakan yang bijak, apatah lagi apabila beliau menegaskan keputusan berkenaan juga dibuat kerana mendapati Nasharuddin bersikap terlalu liberal terhadap UMNO hingga mencapai satu tahap yang tidak boleh diterima lagi.
  • Persoalannya, adakah ini bermaksud apabila Husam ditakdirkan terpilih sebagai Timbalan Presiden Pas nanti, maka segala laluan untuk bekerjasama dengan UMNO hatta bagi kepentingan umat Melayu dan Islam sekalipun akan ditutup? Apakah dosa besar yang dilakukan oleh UMNO terhadap Pas sehinggakan sesiapapun pemimpin Pas yang cuba berbaik-baik dengan UMNO harus disingkirkan?
  • Kalau Pas boleh duduk semeja dengan DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas, kenapa ada di kalangan pemimpin Pas yang berasa begitu alergi untuk berbaik-baik dengan UMNO? Adalah sesuatu yang menghairankan apabila Husam begitu terbuka memberi alasan sedemikian hanya semata-mata kerana ingin merebut jawatan dalam parti.
  • Dendam
  • Sebenarnya Husam terlupa bahawa kelompok yang benar-benar membenci UMNO sehingga tidak boleh duduk semeja berbincang ialah PKR bukan Pas, ini kerana PKR ditubuhkan atas dasar dendam dan benci akibat apa yang berlaku kepada Anwar. Oleh itu dengan hujah Husam tersebut apakah ia bermakna beliau sendiripun sudah terpengaruh dengan politik sempit yang dibawa oleh PKR? Hanya Allah Maha Mengetahui.
  • Adalah sesuatu yang aneh apabila Husam bercakap soal hala tuju Pas hanya kerana ada desas-desus sebelum ini bahawa Pas hendak bekerjasama dengan UMNO, kata beliau, ''parti mesti tegas dalam arah tujunya, supaya tidak menimbulkan keraguan di kalangan pihak-pihak yang menyokong kita."
  • Soalnya bagaimana pula dengan keraguan yang wujud di kalangan penyokong Pas sendiri terhadap beliau yang dikatakan daripada kumpulan Erdogan - kelompok yang dikaitkan dengan Anwar? Apakah dengan menunjukkan isyarat tidak akan memberi laluan kepada sebarang usaha untuk bekerjasama dengan UMNO, maka ini akan memberi political mileage kepadanya dalam meraih sokongan dalam Pas? Penulis sebenarnya tidak berhasrat mempertikaikan niat Husam kerana dari satu sudut penulis berpendapat tidak salah untuk Husam menegaskan bahawa masanya sudah tiba Pas menjadi parti bagi menggantikan UMNO. Tetapi soalnya, mampukah Pas berada pada kedudukan itu atau akan terus diperkotak-katik kan oleh DAP dan PKR seperti mana berlaku sekarang di Perak dan Selangor?
  • Sebenarnya, Pas sudah berada di landasan yang betul, malah corak perjuangan Pas yang berasaskan kepimpinan ulama semakin diterima oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini atas sebab itulah Pas boleh mencapai kejayaan agak cemerlang dalam pilihan raya umum, justeru tidak perlulah oleh kerana hendak berebut jawatan maka hubungan dengan UMNO pula hendak dijadikan modal bagi meraih sokongan.
  • Soal hala tuju Pas termasuklah kerjasama dengan UMNO sudah tidak timbul lagi apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik idea mengenai pembentukan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Atas sebab itu adalah lebih baik jika mana-mana calon yang akan bertanding dalam pemilihan Pas menggunakan modal lain.
  • Ia kerana pemilihan kali ini berkaitan dengan isu dalaman Pas dan bagaimana hendak memantapkan parti itu serta tidak menjadi 'platform' kepada mana-mana puak bagi mencapai cita-cita politik mereka.
  • Apa pun terserahlah kepada perwakilan Pas untuk menentukan siapakah yang akan dibariskan sebagai saf kepimpinan dalam parti itu. Selama ini Pas sudah dilihat cukup mantap dengan gandingan Abdul Hadi dan Nasharuddin.
  • Pas harus diperkukuhkan dengan barisan kepimpinan yang berhasrat untuk menjadikan ia sebagai sebuah parti yang unggul melalui kepimpinan ulama. Ahli-ahli Pas tidak boleh membenarkan kehadiran mana-mana pemimpin yang dilihat suatu hari kelak boleh menjadi 'makhluk perosak' atau melakukan 'kerja-kerja bodoh' dalam parti itu.
  • Mereka tidak boleh membiarkan ada pemimpin daripada golongan profesional merelakan diri mereka diperalatkan oleh orang luar bagi meruntuhkan kepimpinan ulama dalam Pas. Selama ini, biarpun diterajui oleh golongan ulama, Pas tetap diterima oleh rakyat malah di Kelantan Pas mampu bertahan dari tahun 1990 sehingga sekarang biarpun ia dipimpin oleh seorang ulama iaitu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
  • Justeru terserahlah kepada ahli-ahli Pas yang akan mengundi pada minggu depan bagi menentukan siapa yang mereka mahukan, mereka mempunyai pilihan, sama ada terus mengekalkan penguasaan ulama atau memulakan langkah pertama bagi menghakis golongan berkenaan dengan memilih golongan profesional daripada puak Erdogan memegang jawatan dalam parti itu.
  • Kalaulah puak Erdogan dipilih, ahli-ahli Pas harus bersedia melihat kedudukan ulama dalam parti itu berada dalam keadaan bahaya. Ini kerana agenda golongan profesional daripada puak Erdogan untuk menguasai Pas tidak akan berakhir di situ. Mereka akan melakukan perancangan yang lebih teliti untuk memastikan agenda pihak tertentu di luar Pas bagi menguasai parti berkenaan tercapai. Oleh itu, mereka perlu menjadikan pemilihan kali ini untuk menghapuskan sebarang golongan yang boleh bertindak sebagai musuh dalam selimut kepada Pas.
  • Justeru nilailah satu persatu calon yang bertanding dengan sebaik-baiknya, lihat track recordmereka dan mohonlah petunjuk Allah dalam membuat keputusan. Ingatlah, Pas adalah parti induk Melayu kedua selepas UMNO yang diletakkan harapan bagi memastikan kuasa politik Melayu tetap dipertahankan dan Islam tetap didaulatkan.


No comments:

Post a Comment