Followers

Tuesday, June 16, 2009

Matematik, Sains dalam BI wajar diteruskan

Ini adalah sekadar memperluaskan lagi pendapat berkaitan isu PPSMI yang sedang mendapat liputan hangat dis eluruh negara. Berikut adalah pendapat Tun M tentang isu tersebut.

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) wajar diteruskan untuk memastikan pelajar khususnya bangsa Melayu tidak ketinggalan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, PPSMI bertujuan melengkapkan pelajar di sekolah untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik sekali gus menguasai bahasa Inggeris yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

"PPSMI itu perlu diteruskan supaya pelajar kita tidak ketinggalan. Bukan bertujuan untuk mengabaikan bahasa Melayu, tetapi sebagai contoh, bidang sains yang dipelopori negara luar menerbitkan buku-buku dalam bahasa Inggeris.

"Seperti telefon bimbit, kalau orang luar buat dengan dilengkapi kamera video, khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi panduannya atau ilmunya dalam bahasa Inggeris, boleh kita menggunakan sains kita dalam bahasa Melayu untuk membuat telefon bimbit? Waktu itu kalau hendak diterjemahkan dalam bahasa Melayu, kita dah jauh ketinggalan," katanya .

Mengambil contoh zaman kegelapan masyarakat Arab dahulunya, Dr. Mahathir berkata, pada ketika itu masyarakat tersebut tidak mempunyai sebarang ilmu pengetahuan dan hanya mempelajarinya daripada kerajaan Greek.

"Jadi takkan pula masyarakat Arab itu nak minta orang di Kerajaan Greek untuk menterjemahkan ilmu mereka ke dalam bahasa mereka (Arab). Penyelesaiannya ialah mereka terpaksa belajar bahasa Greek untuk membolehkan mereka mendalami ilmu. Dengan itu, bangsa Arab menjadi sebuah bangsa yang membangun," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu juga sama seperti sekarang di mana pelajar perlu menguasai bahasa Inggeris untuk mendalami sesuatu ilmu.

"Kita tidak mampu menterjemahkannya dalam bahasa Melayu kerana pada ketika itu kita kekurangan pakar. Kalau nak diterjemahkan, kita akan terus ketinggalan dan sebab itu kewajarannya perlu dilaksanakan dalam bahasa Inggeris," katanya.

Dr. Mahathir berkata, walaupun dilaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris, ia tidak bermakna bahasa Melayu dipinggirkan.

"Tengok macam saya... saya sekolah Melayu hanya setakat darjah dua sahaja sebelum bapa memindahkan saya ke sekolah Inggeris dan seterusnya melanjutkan pembelajaran sampai ke peringkat tertinggi yang semuanya dalam bahasa Inggeris.

"Tapi Melayu saya tidak hilang dan saya masih lagi boleh bercakap dalam bahasa Melayu. Takkan hilang Melayu kalau belajar dalam bahasa Inggeris," katanya.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment