Sunday, 05 April 2009
Sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, saya dapati reaksi bersemangat dari pihak awam mengenai konsep 1 Malaysia amat menggalakkan. Sambil kita terus bergiat dan menggandakan usaha untuk memperbaiki segala tindakan dan proses dalam kerajaan, perlu saya tekankan satu lagi ciri utama dalam memastikan kejayaan kita iaitu nilai-nilai yang perlu diterap bagi melengkapkan usaha-usaha tersebut. Memang benar, tindakan itu lebih dalam kesannya dari kata-kata sahaja.
Saya telah mengenalpasti sebanyak lapan nilai yang tidak saling eksklusif yang saya percaya adalah penting untuk kita semua. Diharap anda semua terus mengunjungi lawan web peribadi saya di mana saya akan memperkenalkan setiap nilai secara berperingkat sepanjang bulan ini. Semoga nilai-nilai ini dalam dipupuk dalam jiwa kita semua. Sila terus berkongsi pandangan dan kritikan membina anda; inilah tanda yang jelas bahawa momentum dialog kita sedang meningkat.
Hari ini saya memperkenalkan nilai yang pertama – Budaya Kecemerlangan. Anda boleh menyaksikan video di sini dan baca terjemahan transkrip video tersebut di bawah.
BUDAYA KECEMERLANGAN
Saya benar-benar percaya bahawa demi mengubah Malaysia dan membawa Malaysia ke tahap kejayaan dan pencapaian yang lebih tinggi, satu nilai yang melungkungi nilai-nilai lain yang akan memastikan Malaysia menuju trajektori yang betul ialah untuk kita menanamkan Budaya Kecemerlangan. Ini kerana jika anda mempunyai satu set nilai-nilai yang menandakan anda mempraktikkan Budaya Kecemerlangan, segalanya akan berkembang dan beralir dari Budaya tersebut.
Secara dasar, ianya satu usaha berterusan. Namun anda perlu menjanakan perkara-perkara yang akan mendorong orang ramai untuk menyedari betapa pentingnya Budaya Kecemerlangan. Sebagai contoh, dengan memperkenalkan dengan lebih banyak prinsip meritokrasi. Dari situ, anda akan menegaskan kepentingan prestasi, dan prestasi itu banyak berpaut kepada Budaaya Kecemerlangan.
Berkenaan aspek-aspek Budaya Kecemerlangan
Saya rasakan kita perlu mengenalpasti subset-subset yang berkaitan dengan Budaya Kecemerlangan. Sebagai contoh, bagi dikenali sebagai sebuah masyarakat yang percaya kepada prinsip ketepatan. Ianya satu subset Budaya Kecemerlangan. Dalam erti kata lain, anda mementingkan ketepatan. Ketepatan dari segi pengukuran, dari segi menguruskan masa, dari segi jadual penyampaian, dari segi kualiti. Jika Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang menekankan kualiti dan kecemerlangan, maka setiap produk yang datang dari Malaysia, setiap perkhidmatan yang berasal dari Malaysia akan dilihat seperti mempunyai kualiti dan nilai cemerlang yang diinginkan oleh dunia.
Saya harap dapat memberi penekanan kepada kepimpinan berasaskan prestasi. Dalam erti kata lain, jika anda mahu mengubah Malaysia, perubahan mestilah berteraskan kepimpinan yang berasaskan prestasi. Ini bermakna anda mempunyai matlamat-matlamat khusus, dan prestasi anda boleh diukur. Anda boleh mengawas, anda boleh memantau, anda boleh mengambil tindakan pembetulan. Anda boleh juga membuat sebarang perubahan jika perlu. Tetapi ianya penting untuk kita merasakan bahawa kita sedang mengalami kemajuan, bahawa kita semakin maju.
Maksud saya, pengertian waktu, ‘waktu Malaysia’, yang sering dijadikan bahan jenaka orang ramai. Tentang menjaga masa, ketepatan masa dalam apa jua yang anda lakukan. Saya rasa ianya satu perkara yang boleh difahami semua orang dan dilihat dalam gaya hidup semua rakyat Malaysia. Ini antara perkara-perkara yang kita boleh ketengahkan, mengingkatkan kesedaran untuk merubah di mana perlu. Dan dari segi cara untuk membatinkan perubahan ini, contohnya, pernyataan seperti ‘lebih kurang’ – ia sepatutnya tidak wujud lagi dalam leksikon perkataan-perkataan yang kita gunapakai seharian. Kita perlu lebih tepat dalam setiap perbuatan, pertuturan, dalam apa sahaja yang ingin dicapai.
Tentang mempelajari Budaya Kecemerlangan
Arwah ayahanda saya seorang ahli motivasi, biarpun saya tidak menyedari hakikat itu pada awalnya. Tetapi secara halus, beliau menerapkan dalam jiwa kami satu keinginan untuk berjaya dan menjadi yang terbaik di kalangan rakan seperjuangan, contohnya di dalam bilik darjah. Arwah mendirikan satu skim ganjaran, sejumlah wang yang kecil. Jumlahnya tidak lumayan, hanya sedikit wang yang akan dihadiahkan jika kami berjaya menduduki tempat pertama di dalam mana-mana ujian atau peperiksaan. Ianya bukan tentang ganjaran wang, tetapi jelas kegembiraan yang beliau rasai bila anda menjadi pelajar terbaik di dalam kelas, dan kekecewaan di riak wajahnya jika anda tidak berjaya. Itulah titik tolak dalam hidup saya untuk menyedari betapa pentingnya untuk berjaya dan berusaha dengan gigih dalam segala perbuatan.
No comments:
Post a Comment