Followers

Thursday, April 23, 2009

Sektor perkhidmatan diliberalisasi - ekuiti 30% peratus Bumiputra dihapuskan

Kerajaan hari ini memutuskan untuk meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan.

Ini bermakna syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan tidak lagi terpakai.

Mengumumkan perkara itu di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, subsektor yang diliberalisasikan itu adalah dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan.

Kata beliau, liberalisasi sektor perkhidmatan bertujuan membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi.

"Kerajaan akan mengambil langkah untuk meliberalisasikan subsektor perkhidmatan yang lain secara progresif dari semasa ke semasa.

"Inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan. Ia juga tidak akan menjejaskan peniaga kerana kita telah lakukan rundingan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," kata beliau pada sidang akhbar di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk Unit Perancang Ekonomi (EPU), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri MITI, Datuk Mustapa Mohamed.

Sektor perkhidmatan merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.

Sektor ini juga mewakili 57 peratus dari jumlah pekerjaan di Malaysia.

Justeru, Najib berkata, bagi mempermudahkan pelaburan dalam sektor perkhidmatan, satu Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) telah ditubuhkan.

Jawatankuasa ini, kata beliau, akan bertindak sebagai pusat yang menerima dan memproses permohonan pelaburan bagi sektor perkhidmatan kecuali perkhidmatan kewangan, pengangkutan udara, utiliti, Koridor Pembangunan Ekonomi, syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Bionexus serta perdagangan pengedaran.

Beliau menarik perhatian pelaburan yang diluluskan bagi sektor perkhidmatan berjumlah RM50.1 bilion pada 2008, melangkaui sasaran tahunan pelaburan sebanyak RM45.8 bilion di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga.

Peratusan pelaburan asing pula dicatatkan pada 11 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan.

"Dengan liberalisasi sektor perkhidmatan, kerajaan menjangka lebih banyak aliran masuk pelaburan dalam sektor ini," katanya.

Menurut Perdana Menteri, dari segi eksport pada 2008, sektor perkhidmatan menyumbang RM102.1 bilion manakala import berjumlah RM99.8 bilion.

"Dengan fokus diberikan kepada perkhidmatan pada masa ini, usaha-usaha promosi barangan pembuatan akan dilengkapi dengan lebih tumpuan diberikan kepada promosi eksport perkhidmatan.

"Sehubungan itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah ditugaskan untuk menyelaras dan menerajui semua usaha promosi eksport," kata beliau.

Pada 2007, katanya, negara ini buat pertama kali mencatatkan lebihan dagangan perkhidmatan dan ini berterusan pada 2008.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) merekodkan Malaysia merupakan antara 30 pengeksport perkhidmatan utama di dunia.

No comments:

Post a Comment