Followers

Saturday, November 14, 2009

121 Bangunan Baru Sekolah Agama Akan Dibina

JOHOR BAHRU,11 Nov: Sebanyak 121 bangunan baru sekolah agama di negeri ini akan dibina di negeri ini untuk menampung bilangan murid yang semakin bertambah setiap tahun.

Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata sejumlah RM200 juta diperlukan untuk tujuan itu dan pembinaannya dijangka selesai dalam tempoh dua tahun.

“Langkah ini diambil bagi mengatasi masalah kekurangan bangunan sekolah agama yang semakin kritikal sehingga ada guru dan pelajar yang terpaksa menumpang di bangunan sekolah kebangsaan, masjid dan juga rumah kedai.

“Kerajaan negeri sedang berusaha mencari dana untuk tujuan itu dan jika perlu akan menggunakan peruntukan kerajaan pusat untuk membina dahulu bangunan sekolah berkenaan dan membayarnya semula selepas 10 tahun,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Agama Bandar Seri Alam di Pasir Gudang, semalam.

Jelasnya lagi, untuk menaik taraf pembelajaran di sekolah agama kerajaan negeri telah membuat semakan semula terhadap kurikulum dan kandungan kitab yang digunakan sekarang untuk disesuaikan dengan tahap keupayaan murid.

Katanya, sukatan itu akan dipinda secara berperingkat dan sebagai permulaan kitab untuk murid darjah satu, dua, empat dan lima sudah mula diterbitkan sejak tahun lalu.

Abdul Ghani berkata, menjelang 2010 semua murid sekolah agama di negeri ini akan belajar dengan menggunakan sukatan pelajaran yang baru.

Menurutnya, sehingga hari ini kerajaan negeri Johor telah membina 389 sekolah agama dengan menggunakan peruntukan sendiri.

“Sistem sekolah di Johor sudah wujud hampir 100 tahun dan pada masa ini 218,000 murid dan 5,000 guru terbabit dengan sistem persekolahan itu,” katanya.

Abdul Ghani turut mengumumkan pemberian peruntukan RM350,000 untuk pembinaan surau di Sekolah Agama Bandar Seri Alam bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

No comments:

Post a Comment